Menyusukan Bayi Selepas Ceaserian

Salam untuk pembaca blog saya yang budiman, tajuk blog saya mengingatkan saya tentang pengalaman saya sendiri yang menyusukan bayi sebaik sahaja melahirkan anak saya secara ceaserian, saya mempunyai 3 pengalaman secara ceaserian di 3 hospital yang berlainan. Kenangan yang paling manis ialah semasa bersalinkan anak saya yang ke 3 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tahun 2010 di mana kempen penyusuan bayi giat dijalankan. Sebaik sahaja puteri saya keluar dari perut saya, nurse telah mengajar bayi saya untuk menyusu semasa rahim saya sedang dijahit. Dengan kuasa Allah, Alhamdulliah bayi saya pandai untuk menyusu , momen yang paling berharga untuk saya sebagai seorang ibu. Sebaik sahaja saya di dalam wad saya sudah boleh menyusukan bayi secara berbaring dan mengiring sedikit di sini bantuan diperlukan disebabkan kaki saya masih tidak boleh bergerak kerana ubat bius masih berbaki. Jururawat banyak membantu saya untuk menjayakan penyusuan kepada bayi saya.

Berikut panduan yang boleh saya kongsikan untuk kebaikan kita bersama menjayakan penyusuan susu ibu selepas ceaserian.

1. Sebelum bersalin anda disarankan untuk mencari ilmu penyusuan susu ibu, ianya kelihatan mudah namun hakikatnya banyak cabaran yang perlu digalas untuk menjayakan penyusuan susu ibu. Anda perlu belajar asas dan teknik penyusuan yang betul. Terdapat banyak kelas persediaan penyusuan susu ibu, jika anda menjalani pemeriksaan di PPUM, mereka ada menyediakan kelas untuk bakal ibu.

2. Mulakan penyusuan seawal mungkin sejurus kelahiran kerana ketika ini payudara masih dalam keadaan lembut dan susu awal yang dihasilkan masih dalam kuantiti yang sedikit. Minta jururawat untuk meletakkan bayi di dada anda, pastikan anda dan bayi diselimuti kerana suhu di dalam bilik pembedahan sangat sejuk.

3. Pastikan bayi sentiasa bersama anda. Kerapkan penyusuan mengikut keperluan bayi. Biasanya bayi menyusu lebih kurang 8 - 12 kali dalam 24 jam. Jika anda menggunakan bius seluruh badan atau separuh biasanya bayi akan lebih mengantuk. Bantu dia untuk bangun menyusu terus daripada payudara dan ransang payudara dengan menggunakan tangan atau pam.

4. Posisi yang paling sesuai adalah posisi sambil berbaring dan anda dalam keadaan mengiring dengan bantal diletakkan dibelakang badan anda. Anda hanya perlu tinggi atau rendahkan badan supaya bayi boleh mendapat kedua-dua belah payudara tanpa perlu menukar arah. Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami atau jururawat.

5. Selepas pembedahan anda biasanya akan terbaring di katil kerana masih berasa sakit di bahagian luka pembedahan. Anda perlu untuk bangun dan bergerak dalam tempoh 24 jam supaya cepat sembuh. Untuk bangun dari katil hospital gunakan penghadang disisi katil sebagai sokongan, jika di PPUM mereka sediakan tali untuk anda bangun, saya masih lagi terasa ngilu bila menaip entri ini hehehe tapi jangan risau kesakitan itu tidak lama.

6. Anda boleh memakai bengkung khusus untuk ibu yang  ceaserian bagi menyokong perut anda

7. Inilah waktunya untuk anda berkenalan dengan bayi anda, pelbagaikan aktiviti sentuhan kulit ke kulit dengan bayi anda.Sentuhan berpanjangan akan menambahkan keakraban yang secara tidak langsung meningkatkan tahap hormon yang bertanggungjawab menghasilkan susu.


Jangan putus asa untuk memberikan susu ibu kepada bayi anda walaupun anda ceaserian, ianya bukan penghalang untuk anda memberikan susu yang terbaik untuk bayi anda.



Labels: