Tip Mudah Sendawakan Bayi Anda




Untuk ibu-ibu muda yang pertama kali menimang cahayamata, mungkin anda panik jika bayi terjaga dan menangis tanpa henti tanpa anda tau puncanya walaupun selepas anda susukan dan bersihkan bayi anda manakala suhu bilik pula tidak panas. Mungkin perut bayi anda tidak selesa atau biasanya kita panggil kembung. Sebaiknya selepas selesai memberikan susu jangan biarkan dia tidur terus, anda perlu lakukan sesuatu supaya bayi anda sendawa. Sendawa membantu mengelakkan kembung perut.


Kebiasaannya apabila bayi menyusu, sejumlah kecil udara secara tidak langsung akan ikut serta masuk ke dalam badannya (semasa penyusuan susu ibu dan minum menggunakan botol susu). Jika bayi menangis semasa menyusu maka lebih banyak udara akan masuk ke dalam badannya, Seterusnya akan mewujudkan gelembung udara di dalam perutnya dan mengakibatkan rasa tidak selesa kepada bayi. Malah ada bayi akan berhenti menyusu walaupun masih belum kenyang.


Jika anda tidak sendawakan bayi selepas menyusu, sebaliknya bayi terus dibaringkan, ia boleh mengakibatkan bayi memuntahkan susu yang diminumnya. Selain dari bayi akan mengalami kembung ianya juga boleh menyebabkan bayi tersedak dan sangat bahaya kepada nyawa bayi anda. Bersabarlah semasa sendawakan bayi, mungkin lambat atau cepat bayi akan sendawa.


Saya akan kongsikan tip mudah sendawakan bayi anda, agar perut bayi selesa, tidak meragam, dapat menyusu dengan puas dan tidur lena. Ada beberapa posisi yang boleh anda lakukan seperti gambar di atas.


Di Bahu




Gendung bayi anda posisi tegap mengadap ke belakang dengan dagu bayi di atas bahu anda. Usap perlahan bahagian belakang sehingga dia sendawa. Posisi ini anda boleh lakukan sambil berdiri atau duduk di kerusi. Untuk mengelak dia termuntah ketika sendawa alaskan bahu anda dengan sapu tangan.


Meniarap Di Pangkuan


Telangkupkan (meniarap) bayi anda dengan posisi melintang sehingga salah satu paha menekan perut. Pastikan bayi dalam kedudukan selesa. Tahan dada bayi dengan satu tangan. Sementara tangan anda yang satu lagi mengusap-usap belakangnya dengan perlahan-lahan. Pastikan kepala bayi lebih tinggi dari badannya.


Pangku Mengadap ke depan


Dudukkan bayi dipangkuan anda, tahan bahagian dadanya dengan lengan bawah anda. Biarkan bayi anda dalam kedudukan selesa. Biarkan tubuh bayi dalam kedudukan condong ke hadapan, gosok dan tepuk secara perlahan dibahagian punggungnya dengan jari jemari anda sehingga udara dalam badannya keluar.


Dukung


Jika bayi anda masih belum sendawa walaupun telah menggunakan pelbagai cara di atas tadi, cuba lakukan kaedah lain. Kali ini anda mendukung bayi. Sambil mengajaknya berjalan-jalan di dalam rumah, gunakan sebelah tangan anda untuk menggosok bahagian belakangnya. Ia mungkin mengambil masa yang lama. Lakukan dengan sabar kerana biasanya "udara" yang terperangkap ini mengambil masa yang agak lama untuk keluar.


Meriba


Bayi diletakkan dalam posisi duduk di salah satu paha anda dengan membongkokkan badannya. Gosok perlahan-lahan bahagian belakangnya dengan jari-jari anda sehingga bayi sendawa. Berhati-hati semasa memegang bahagian dadanya kerana jika tersalah pegang mungkin akan menyebabkan susu yang diminumnya tadi keluar kembali. Cara ini dikatakan bayi mudah sendawa selepas menyusu.


Selain dari tip mudah sendawakan bayi, berikut info ringkas yang perlu anda tahu.

Sesetengah bayi yang berumur empat hingga enam bulan dan pernah mengalami sakit perut didapati mudah mengalami kolik (kembung perut). Tanda-tanda bayi mengalami kolik ialah bayi berumur kurang daripada 3 bulan, menangis dan menjerit, kaki ditarik ke dada semasa menangis. Tangisan yang berlaku pada masa lebih kurang sama tiap-tiap hari.


Sedikit pesanan untuk ibu yang menyusukan bayi, berhati-hati dengan makanan yang ambil, mungkin ia salah satu faktor penyebab bayi anda kembung, cuba elakkan makanan yang berangin seperti pulut, kekacang, produk tenusu, makanan bergandum, makanan pedas dan berempah, coklat atau minuman berkafein. Ambil makanan secara sederhana dan lihat jika bayi meragam atau tidak selepas menyusu badan.



Labels: