Aktiviti Bersama Si Kecil Semasa Cuti Sekolah


Memandangkan tak lama lagi cuti sekolah akan bermula, selain dari persiapan makanan yang mencukupi, ibu-ibu juga perlu kreatif melayan karenah anak-anak yang sedang membesar terutamanya yang berumur 4 hingga 10 tahun, bagi anak-anak yang meningkat remaja, lain pula caranya.




Semoga dengan aktiviti yang dilakukan bersama ini samada di luar atau di dalam rumah, dapat memupuk kasih sayang, keharmonian dan kesejahteraan yang erat antara ahli keluarga.


Memasak






Aktiviti memasak antara cara yang mudah untuk mengajak anak-anak masak bersama-sama seperti membantu mengeluarkan bahan makanan dari dalam peti ais, menyediakan pinggan mangkuk atau mungkin sekadar menemankan anda di dapur mendengar celoteh mereka. Cara ini boleh membantu mempermudahkan kerja anda. Dengan aktiviti ini membantu anak-anak mengenali perbezaan warna, rasa dan ukuran peralatan di dapur. Cuma pastikan segala peralatan tajam disimpan di tempat yang sepatutnya agar tidak membahayakan mereka.


Mengemas Almari Pakaian

Mengemas atau merapikan almari pakaian adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan semasa cuti sekolah atau cuti hujung minggu. Kita boleh memberi gambaran kepada anak-anak tentang jenis pakaian yang harus disusun mengikut jenis. Contohnya t-shirt, kemeja, pakaian dalam atau seluar. Biarkan anak-anak memilih pakaian yang ingin mereka pakai sehari-hari. Lakukan bersama-sama dengan anak-anak.


Menonton Televisyen

Pilihlah rancangan yang menarik untuk ditonton seperti filem animasi atau rancangan pendidikan yang boleh meransang daya ingatan anak anda dalam mengenali gambar, angka dan huruf. Ibu juga boleh mengajak anak-anak mengenali benda disekeliling mereka contohnya meja, sofa atau lampu.


Membaca Buku Cerita




Sebelum membacakan buku cerita untuk anak-anak, kita perlu mengetahui minat mereka dan bacakan untuk mereka. Selesai membaca minta anak-anak menceritakan kembali. Teknik ini sangat baik untuk  mendorong dan melatih kemampuan mereka membaca, berbual dan daya ingatan mereka.


Melukis




Melukis adalah salah satu kegemaran anak-anak saya. Ia mendorong kreativiti seni anak-anak, lukislah apa sahaja samada pemandangan atau wajah ahli keluarga atau karekter kesukaan mereka. Hadiahkan mereka dengan pensel warna. Selepas itu sediakan satu tempat untuk menyimpan hasil kerja mereka. Sebagai contoh boleh ditampal dibilik mereka atau dimana sahaja ruang yang bersesuaian dalam rumah anda, supaya mereka rasa lebih dihargai.


Berkebun






Selain aktiviti di dalam rumah, apakata anda mengajak anak-anak beraktivti di luar rumah contohnya menanam pokok bunga atau menanam sayuran.


Berkelah

Berkelah adalah salah satu aktiviti yang menggembirakan anak-anak, tidak perlu terlalu jauh mungkin sekadar di taman yang berdekatan dengan rumah anda. Dan jangan lupa bawa bekalan makanan dan minuman.


Semoga aktiviti yang dicadangkan ini boleh membantu anda manfaatkan cuti sekolah anak-anak. Mungkin anda ada aktiviti lain yang boleh dicadangkan dan dapat membantu ibu-ibu lain.


Kalau anak-anak bersepah sana sini sikit-sikit, pejam sebelah mata je la ya. Sementara mereka membesar memang banyak cabarannya, apapun banyak bersabar ya ibu-ibu semua :)

Labels: