Inilah rupanya cendawan kukur atau di Kelantan dikenali sebagai kulat sisir. Cendawan kukur ini banyak tumbuh di batang pokok yang sudah mati terutamanya batang pokok getah yang telah tumbang atau ditebang. Memandangkan sekarang musim hujan cendawan kukur ini banyak dan mudah didapati. Selepas hujan biasanya cendawan ini kembang dan mudah dipetik.
Bagaimana saya kenal dan makan cendawan kukur ni? Ianya diperkenalkan oleh pengasuh anak saya masa dia di nurseri, masa tu pengasuh dia masak cendawan kukur goreng pedas, pertama kali rasa macam pelik akan tetapi selepas beberapa kali makan wah sedap jugak cendawan kukur ni :)
Tapi disebabkan ianya agak sukar didapati di Shah Alam ni maka saya pun takde la mencari cendawan kukur ni, cuma baru-baru ini saya ke pasar Seksyen 6 Shah Alam ternampak 1 brother ni sedang mengasingkan cendawan kukur ni untuk dijual dalam pek, oklah kita try beli 2 pek, 1 pek harganya RM5.
Dah beli kenala masak kan, kalau tak nanti kena sindir dengan En Suami hehe. Lagipun membazir kalau dah beli tak masak dan buang begitu sahaja. Ramai yang mengidam dan mencari cenawan kukur ni.
Resepi Cendawan Kukur Goreng Pedas
Bahan-bahan
3 cawan cendawan kukur yang dikeringkan atau sebungkus seperti yang saya beli.
4 - 5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
10 - 15 biji cili padi *
1 cm kunyit hidup *
Segenggam ikan bilis
1 -2 batang serai diketuk
Garam secukup rasa
Minyak masak
Cara-cara Menyediakan
1. Cendawan kukur dibersihkan, kerat jika ada bahagian yang keras pada umbinya. Rendam cendawan dalam air, dengan menggunakan tangan sauk cendawan yang timbul supaya habuk jatuh ke bawah. Sebaiknya buat 2 atau 3 kali, jirus air dan toskan. Tumbuk cendawan separuh lumat dan ketepikan.
2. Tumbuk bahan bertanda * hingga lumat. Kemudian masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi sehingga ikan bilis separa lumat.
3. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bahan-bahan tumbuk serta serai hingga wangi. masukkan garam secukup rasa. Kacau hingga sebati.
4. Masukkan cendawan dan goreng atau kacau hingga agak kering. Biarkan secukup rasa dan jangan lupa matikan api, maka dah boleh dihidangkan. Sangat enak dimakan bersama-sama dengan nasi atau nak lain dari yang lain boleh makan dengan roti, ada yang marah ke?
Selamat Mencuba
Labels: Resepi